Bajet 2024: Perkenalkan semula Kempen Pemilikan Rumah – LBS
KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta memperkenalkan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang pernah dilakukan pada tahun 2019 -2021 untuk merangsang permintaan daripada bakal pembeli, menggalakkan pemilikan rumah dan membantu memberikan lebih banyak pilihan mengikut kemampuan bakal pembeli.
Ia merupakan antara cadangan yang dikemukakan oleh Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Ir. Lim Hock San menjelang pembentangan Bajet 2024.
Menurutnya, cadangan itu selari dengan cabaran inflasi semasa yang melibatkan kenaikan harga barangan keperluan dan harga rumah.
Oleh itu, pelaksanaan HOC dapat mengurangkan tekanan kewangan rakyat terutama yang berhasrat untuk memiliki kediaman pertama.
Selain itu, katanya, kerajaan seharusnya mempertimbangkan untuk menyediakan insentif atau subsidi khas bagi pemaju yang menggunakan sistem binaan berindustri (IBS) ke dalam projek pembangunan kerana ia dapat membantu mengurangkan kos pembinaan dan menjadikan perumahan lebih mampu milik.
Tambah beliau, insentif jangka pendek ini akan membuka jalan kepada penggunaan sistem konkrit pratuang secara lebih meluas di dalam sektor hartanah. Matlamat utamanya adalah untuk mencapai kecekapan pembinaan yang lebih tinggi, pengurangan kos dan kemampanan sekaligus mengekal atau meningkatkan kualiti pembinaan secara keseluruhannya.
Hock San menambah, dengan peningkatan kesedaran global terhadap pembangunan yang mampan dan hijau, kos untuk mereka bentuk, membangunkan pembangunan mampan dan neutral karbon boleh menjadi kos tambahan kepada pemaju tempatan, malahan lebih tinggi berbanding pembangunan konvensional.
Sehubungan itu, ujar beliau, kerajaan seharusnya mengambil langkah untuk menyokong dan meningkatkan pembangunan hijau dan mempertimbang untuk menyediakan geran khas kepada pemaju bagi menggalakkan pemain industri mengintegrasikan kehijauan dalam setiap projek pembangunan mereka, contohnya penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti panel solar.
Hock San berkata, sebagai pemaju perumahan rakyat, LBS mengutamakan harga mampu milik dalam kesemua projeknya.
Namun begitu, perbelanjaan yang berkait dengan pematuhan, seperti caj pembangunan, premium penukaran tanah, atau yuran penukaran hak milik strata saban hari semakin meningkat.
Berikutan itu, pihak pemaju dan kontraktor terpaksa membayar kos ini dengan menaikkan harga hartanah.
Bagaimanapun, berdasarkan iklim ekonomi semasa, LBS berharap kerajaan dapat mempertimbangkan had atau mengurangkan kos pematuhan berkaitan pembangunan hartanah.
Beliau juga menyarankan agar kerajaan memberikan galakan insentif kepada pemaju agar mereka dapat menggabungkan teknologi moden ke dalam pembinaan projek seperti sistem cekap tenaga, grid pintar, solusi pengurusan sisa pepejal serta kecerdasan pengurusan trafik yang sistematik.
“LBS berharap Belanjawan 2024 akan membawa perubahan ketara dan mempengaruhi sentimen secara positif dalam pasaran hartanah melalui pengenalan pakej rangsangan. Belanjawan ini memberi peluang kepada Kerajaan untuk membantu rakyat dalam menangani cabaran semasa, khususnya cabaran berkaitan dengan pemilikan rumah,” katanya.
Hock San menambah, pembentukan Kerajaan perpaduan diharap dapat mewujudkan persekitaran yang berupaya menarik lebih ramai pelabur, memupuk pertumbuhan ekonomi, dan meningkatkan kesejahteraan negara.
“Kami berharap kerajaan dapat memberikan komitmen dalam memastikan rakyat mempunyai pilihan perumahan yang mencukupi, berkualiti tinggi dan mampu milik agar lebih ramai lagi rakyat Malaysia dapat merealisasikan impian mereka untuk memiliki rumah,” ujarnya.
Tahun ini, sasaran jualan rumah adalah sebanyak RM2 bilion. – MalaysiaGazette
Reproduced from: Bajet 2024: Perkenalkan semula Kempen Pemilikan Rumah – LBS (malaysiagazette.com)